Semenjak berlakunya apa yang didakwa sebagai krisis perlembagaan di negeri Perak awal Februari lepas, Pakatan Rakyat tidak henti-henti merayu dan meminta supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan. PR berhujah bahawa hak hendaklah dikembalikan kepada rakyat supaya rakyat sendiri yang menentukan siapakah yang rakyat mahu pilih untuk membentuk kerajaan negeri, PR atau Barisan Nasional.
Keadaan kini tambah meruncing dan menjejaskan PR apabila Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Besar Perak bertegas akan meneruskan dengan sidang dewan buat pertama kalinya pada 7 Mei ini selepas berlaku peralihan kuasa dari PR kepada BN.
Gesaan terbaru dibuat oleh Mohd sabu selaku Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS Pusat pada 4 Mei kelmarin supaya pembubaran dibuat demi membolehkan rakyat membuat pilihan mereka sendiri dan bersesuaian dengan demokrasi. PAS melalui Mohd Sabu dan jawatankuasa berkenaan mendesak supaya DUN Perak dibubarkan dan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan pilihan mereka.
Lagu demokrasi dan hak rakyat inilah yang terus didendangkan oleh para pemimpin PR bagaikan rekod lapuk dan retorik lusuh untuk mewajarkan tuntutan mereka sendiri dan tuntutan penyokong mereka sahaja. Rakyat dan demokrasi jualah yang terus dijaja ke sana sini untuk membarakan kemarahan rakyat menentang establishment yang ada.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa rakyat ada hak untuk memilih kerajaan sendiri atas nama demokrasi. Tidak dapat dinafikan juga bahawa rakyatlah yang akan menentukan pihak mana yang boleh membentuk kerajaan.
Namun demikian, walau sebesar atau seluas mana pun hak rakyat atas nama demokrasi, hak seumpamanya tetap terbatas oleh undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri. Justeru, janganlah sampai nama rakyat dijaja secara borong seolah-olah rakyatlah penentu kepada segala-galanya seakan-akan tiada lagi undang-undang dan peraturan yang boleh membatas dan mengehadkan hak dan kuasa rakyat.
Di atas teras yang sama, janganlah nama rakyat turut dijaja secara borong seolah-olah segenap lapisan rakyat mahukan pembubaran DUN untuk menentukan siapakah yang layak untuk membentuk kerajaan, sedangkan tidak kesemua rakyat berpendirian serupa.
Rakyat yang menyokong PR seperti ahli PAS, DAP dan PKR mungkin boleh dijaja oleh PR untuk menuntut pembubaran kerana mereka sememangnya marah setelah berlaku peralihan kuasa di Perak. Namun demikian, bagaimana pula dengan rakyat Perak yang menyokong BN atau yang tiada kecenderungan terhadap parti politik tertentu?
Hakikatnya, banyak kemusykilan yang boleh dibangkitkan untuk mempersoal dan menyanggah tindakan PR menjaja nama rakyat dan demokrasi. Apakah hak PR untuk menjaja nama rakyat Perak yang menyokong dan bersimpati dengan BN menuntut pembubaran DUN? Sudahkah PR mendapat mandat keseluruhan rakyat Perak untuk menuntut supaya pembubaran dibuat dan hak rakyat dikembalikan untuk memilih ahli-ahli DUN baru? Apakah kayu ukur yang digunakan untuk mewajarkan pembubaran DUN supaya rakyat boleh membuat pemilihan baru?
Atas nama rakyat dan demokrasi, tunjuk perasaan di jalanan telah dijustifikasikan sebagai kaedah menyuarakan pendapat. Maka timbullah pertanyaan : adakah suara penunjuk perasaan di Kuala Kangsar tidak lama dahulu mewakili suara sebenar dan keseluruhan rakyat negeri Perak? Tidak lain dan tidak bukan, para penunjuk perasaan tersebut hanya mewakili diri mereka sendiri dan penyokong-penyokong PR sahaja.
Dengan menjaja nama rakyat dan demokrasi juga, pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang yang lalu telah dicanang dan didakwa sebagai referendum rakyat menolak kerajaan negeri BN yang dilantik oleh baginda Sultan Perak. Dalam konteks ini pula berbangkit beberapa lagi persoalan. Adakah kertas undi yang menyokong Nizar merupakan undian yang mahukan pembubaran DUN Perak? Bagaimana pula dengan undian yang memihak Ismail Safian ?
Sesuatu yang harus dihayati oleh para pemimpin PR ialah titah Sultan Azlan Shah semasa sambutan ulangtahun keputeraan baginda pada 19 April lepas. Menurut titah baginda, Malaysia adalah sebuah negara raja berperlembagaan dan bukannya republik. Tambah Tuanku lagi, seorang raja pemerintah tetap kekal sebagai raja pemerintah yang jauh berbeza kedudukannya dari seorang presiden.
Justeru, hakikat yang harus diakui dan difahami oleh pemimpin PR ialah bahawa Malaysia sebuah negara demokrasi dengan raja berperlembagaan. Sistem raja berperlembagaan inilah yang tidak memutlakkan hak rakyat dan demokrasi.
Dalam keadaan Malaysia yang mengamalkan demokrasi dengan raja berperlembagaan, para pemimpin PR sewajarnya belajar menghormati perlembagaan dan undang-undang yang ada. Mereka juga sepatutnya menghormati institusi raja dan kuasa-kuasa raja yang ada kerana kewujudan raja dan institusi raja bukan sekadar kosmetik.
Pada masa yang sama, para pemimpin PR sebaik-baiknya mendidik pula rakyat khususnya penyokong mereka mengenai perkara yang sama. Namun demikian PR berbuat sebaliknya. Mahkamah telah dijadikan medan untuk mempertikaikan perlembagaan negeri serta hak dan budibicara raja. Atas nama hak serta kebebasan bersuara oleh rakyat, media baru telah digunakan untuk memburuk-burukkan institusi raja dan kerajaan.
Rakyat sewajarnya sedar bahawa dalam konteks sejarah penubuhan negara dan kepelbagaian kaum yang membentuk rakyat dan negara Malaysia, sistem raja berperlembagaan adalah yang terbaik.
Tidak semua keputusan oleh rakyat sesuai dan baik untuk segenap dan keseluruhan rakyat. Ada kalanya, kalaupun tidak selalu, rakyat perlu dinasihat dan dipimpin dalam memilih serta membuat keputusan. Di sinilah letaknya peranan raja, menasihati serta memimpin rakyat dan kepemimpinan rakyat.
Sebagai sebuah negara yang merdeka lagi bertamadun kerana mempunyai perlembagaannya yang tersendiri, undang-undang khususnya perlembagaan mengatasi rakyat dan bukan sebaliknya. Jika rakyat mengatasi undang-undang, apakah keperluan dan gunanya perlembagaan dan undang-undang?
Nasihat terbaik untuk segenap lapisan pemimpin dan rakyat tidak mengira kerajaan atau pembangkang ialah, perjuangkan hak keamanan dan kesejahteraan rakyat. Ajar dan belajarlah menghormati dan mematuhi perlembagaan, undang-undang dan institusi raja.
Nasihat terakhir ialah, jangan sekali-kali dijaja nama rakyat dan demokrasi untuk kepentingan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment