Oleh AZRAN FITRI RAHIMazran.rahim@utusan.com.my
BACHOK 25 April - Pas menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara parti itu dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berikutan pertukaran pucuk pimpinan negara.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, partinya sedang mengkaji semula cadangan tersebut dan memantau secara dekat pelaksanaan dasar kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada masa yang sama, beliau menolak dakwaan kononnya keputusan menarik balik cadangan tersebut dibuat kerana bimbang akan dicabar pada Muktamar Tahunan Pas Jun ini dan popularitinya yang semakin menurun sejak akhir-akhir ini.
"Sekarang tidak ada lagi (kerajaan perpaduan), cadangan ini dibuat masa Tun Abdullah Ahmad Badawi, kita kemukakan kerana kita melihat suasana pada masa itu.
"Buat masa sekarang, kita lihat dulu bagaimana perjalanannya (kerajaan di bawah Najib), ia bukan disebabkan pemilihan parti Jun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Kawasan Bachok di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok.
Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa Badan Perhubungan Pas negeri yang tidak mencalonkan beliau untuk jawatan Presiden parti dipercayai berpunca daripada tindakannya yang mahu 'berbaik-baik' dengan UMNO demi perpaduan Melayu dan umat Islam.
Abdul Hadi berkata, keputusan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan BN dibuat pada sesi pemukiman pemimpin dan muktamar tahunan parti tersebut tahun lepas.
"Pada dasarnya, semua bersetuju, tetapi masa Abdullah jadi pemimpin dulu, ia bukan saja untuk Pas tetapi turut melibatkan pakatan pembangkang.
"Ahli Pas, dia akur dengan cadangan ini, sebab semua keputusan besar dibuat dalam muktamar tahunan, tetapi sekarang tidak ada lagi kerana Abdullah tidak lagi menjadi Perdana Menteri," katanya.
Beliau turut menafikan wujudnya dua kumpulan iaitu pro muzakarah dan pro pakatan dalam parti tersebut kerana semua keputusan dibuat secara bersama.
Mengulas mengenai negeri yang tidak mencalonkan beliau, Abdul Hadi berkata, ahli bebas untuk membuat keputusan dan memilih sesiapa saja kerana parti itu mengamalkan prinsip demokrasi.
"Terpulang kepada ahli untuk calon sesiapa saja, inilah demokrasi dalam Pas, saya tidak kisah tetapi kita dalam Pas tidak akan berkempen untuk jawatan," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perubahan pimpinan UMNO, Abdul Hadi berkata, pihaknya tidak bimbang kerana sambutan terhadap Pas semakin meningkat pada masa kini.
Katanya, biarpun bertukar kepimpinan, beliau percaya dasar UMNO tidak akan berubah walaupun pendekatan yang diamalkan berbeza.
"Saya tidak boleh komen lagi sehingga ada pelaksanaan dasar baru, tetapi saya percaya dasar parti itu tidak akan berubah.
"Sehingga hari ini, sambutan rakyat terhadap pakatan pembangkang sangat positif hasil kemenangan pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang," katanya.
Di atas merupakan berita terkini lagi terbaru mengenai masa depan perpaduan Melayu dan Islam di negara yang kita cintai ini. Tinggal debu dan dimusnahkan dalam sekelip mata sahaja oleh empunya badan iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS.
Hadi sendiri mula-mula mencadangkan perpaduan Melayu melalui kerjasama di antara PAS dengan UMNO yang telah membuahkan pelbagai harapan, dan Hadi sendiri jugalah yang membatalkan hasrat yang murni itu.
Ada sesuatu yang tidak kena apabila Hadi mengumumkan pembatalan cadangan perpaduan. Yang pertama: tidak kena MASA. Yang kedua: tidak kena TEMPAT.
Kelihatan ada sesuatu yang tidak kena dari sudut masa kerana dilakukan di saat PAS sedang rancak melaksanakan proses demokrasi memilih pemimpin pusat parti. Manakala bagaikan ada sesuatu tidak kena dari sudut tempat disebabkan pengumuman dibuat selepas Hadi merasmikan Muktamar PAS Kawasan Bachok.
Justeru boleh dikatakan bahawa keputusan Hadi mahu membatalkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan lebih dipengaruhi oleh musim pemilihan PAS yang boleh menyebabkan Hadi hilang pengaruh dan jawatan sekiranya cadangan tersebut terus dijaja dan diperjuangkan.
Hadi memberikan alasan paling tidak munasabah bagi mewajarkan pembatalan cadangan iaitu perubahan kepemimpinan UMNO. Menurut beliau cadangan dibuat semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan cadangan tersebut tidak lagi terpakai disebabkan UMNO kini mendapat presiden baru dan Malaysia pula mendapat PM baru melalui Najib.
Inilah mentaliti pemimpin PAS yang memperlihatkan bakat mereka untuk menjadi pelawak kelas badut.
Untuk menutup kesilapan dan kesalahan sendiri, UMNO juga yang tetap dimangsakan dan dijadikan alasan untuk menutup kesilapan dan kelemahan sendiri. Kalau Hadi tidak mahu melihat perpaduan Melayu, Hadi tidak perlu menjadikan UMNO sebagai penyebabnya.
Janganlah disebabkan Hadi takut kehilangan jawatan presiden parti, kepimpinan UMNO dijadikan alasan menolak usaha perpaduan.
Janganlah disebabkan ahli-ahli PAS sendiri yang menolak perpaduan Melayu dan akan menolak sesiapa saja dari kalangan pemimpin yang memperjuangkan perpaduan Melayu dengan UMNO, perlantikan Najib sebagai presiden UMNO dan PM Malaysia pula yang dijadikan batu penghalang.
Sekiranya Hadi benar-benar ikhlas untuk menjayakan kerajaan perpaduan, siapa jua yang menjadi presiden UMNO tidak boleh dijadikan faktor penentu ke arah usaha itu. Pak Lah hanyalah salah seorang daripada pemimpin UMNO semasa Hadi mula-mula mengemukakan gagasan perpaduan. Pak Lah juga hanya berperanan sebagai seorang wakil kepada berjuta-juta ahli UMNO. Itu sahaja.
Faktor Pak Lah tidak penting, begitu juga faktor Najib. Yang lebih penting ialah perpaduan Melayu melalui perpaduan kerajaan pimpinan UMNO dan PAS supaya pemimpim kedua-dua parti tersebut dapat duduk semeja di barisan kerajaan yang sama mencarta perjalanan masa depan orang-orang Melayu dan agama Islam.
Inisiatif Hadi tersangat murni dan tidak dijangkakan akan datang dari seorang pemimpin yang pernah memfatwa dan melabelkan UMNO sebagai kafir. Itulah bukti ekstremnya Hadi dalam perjuangan PAS, tetapi dari pemimpin yang ekstrem itu jagalah datangnya gagasan perpaduan kerajaan Melayu.
Hadi mungkin telah mendapat tempat di hati orang-orang Melayu khususnya UMNO kerana gagasan yang positif itu. Malangnya, kerana gagasan tersebut jugalah Hadi mula lihat penolakan dari pengikut dan penyokongnya sendiri. Hadi kalah kepada politik sebelum sempat berjuang.
Kini Prioriti Hadi boleh dipertikaikan. Yang mana satu lebih penting bagi Hadi sekarang? Mengekalkan jawatan presiden parti atau mengusahakan perpaduan Melayu.
Dari apa yang sedang berlaku, Hadi jelas lebih mementingkan jawatan dari berjuang supaya umat Melayu dapat bersatu padu.
No comments:
Post a Comment