Monday, May 18, 2009

PENGAKUAN : SIRI PENGENALAN

Ada beberapa pengakuan yang ingin penulis buat tetapi terpaksa dipendamkan selama ini. Dalam keadaan sekarang yang begitu memuncak lagi tegang, semakin meluap-luaplah keinginan penulis membuat pengakuan kepada khalayak sehinggakan tidak terbendung lagi.

Pengakuan penulis bukanlah sesuatu yang sensasi. Sensasi ada di tempat lain di segenap pelusuk maya. Sebaliknya, pengakuan penulis sekadar mahu menyatakan betapa tidak berkenannya penulis dengan beberapa buah parti politik yang ada di Malaysia sama ada yang lama maupun yang baru.

'Tidak berkenan' merupakan frasa selembut dan sesederhana mungkin yang boleh penulis fikirkan setakat ini untuk menyatakan perasaan penulis terhadap parti-parti politik berkenaan. Kalau diikutkan hati mahu rasanya penulis memberikan label-label yang lebih keras lagi ekstrem sebagai tanda demonstrasi perasaan diri.

Bagi penulis, parti-parti ini sudah lama berperang dan bermain api semata-mata untuk merealisasikan impian mereka yang belum kecapaian untuk membentuk kerajaan yang sah bagi memerintah negara. Api yang telah lama mereka marakkan tidak lagi boleh diperangi dengan air dek besar dan hangatnya bahang api yang telah mereka cetuskan.

Bagi penulis, api merah penuh marah dan benci yang ada pada hari ini hanya boleh dilawan dengan api. Biar api lain dan lebih besar yang dapat mengecilkan api yang sedia ada. Tetapi, janganlah sampai agama Islam dan orang Melayu sendiri yang hancur dalam permainan api ini.
Namun demikian, setakat itulah saja imaginasi penulis tentang api. Penulis masih lagi waras serta munasabah dan masih lagi enggan untuk melabelkan parti-parti tersebut dengan pelbagai nama yang jelek.

Melabelkan parti-parti komponen kerajaan dengan lelucon menghina merupakan perbuatan keji yang pernah dilakukan oleh parti-parti penentang kerajaan. Malah mereka masih melakukannya sehingga ke hari ini. Cukuplah perbuatan mereka itu menjadi bukti betapa ceteknya pemikiran pemimpin-pemimpin dan pengikut-pengikut mereka menggunakan label jengkel untuk mewujudkan perasaan marah dan benci.

Tidak sanggup penulis merendahkan martabat diri dengan tunduk terikut-ikut dan meniru kaedah permainan mereka yang boleh dianggap low class dan tidak bercita rasa. Penulis masih ada maruah dan harga diri yang tidak ternilai. Penulis masih beragama dan percayakan Tuhan serta tiada kesanggupan melacurkan agama dan nama Tuhan sebagai gimik meraih populariti politik, jawatan dan kekayaan.

Memang penulis masih percaya kepada demokrasi, hak asasi manusia, hak rakyat dan segala macam hak yang diperjuangkan parti-parti ini. Namun, bagi penulis, semua itu ada hadnya, tergaris batas sempadannya dan tersyarat kemunasabahannya. Pernah pada suatu masa penulis cuba membaca akhbar terbitan parti-parti politik ini. Pada fikiran penulis, kenapa perlu membaca akhbar-akhbar aliran perdana semata-mata sedangkan ada alternatif lain untuk mendapat berita dan maklumat.

Namun, kembara penulis ke alam berita dan maklumat parti-parti ini hanya bertahan sekejap sahaja. Tidak berbaloi untuk penulis berbelanja menghabiskan wang ringgit disebabkan kaedah penyampaian berita dan pemerosesan maklumat yang teramat dengkal dipamerkan oleh akhbar parti-parti berkenaan.

Sebagaimana low class dan tidak begitu bercita rasa para pemimpin dan ahli-ahli parti berkenaan sehingga tercermin dalam paparan berita dan maklumat di akhbar-akhbar mereka. Akhbar-akhbar tersebut menerbitkan rasa mual dan pelik yang teramat sangat dalam diri penulis.

Akhbar khusus yang menimbulkan rasa pelik dalam diri penulis ialah akhbar parti yang mendakwa parti mereka sebagai wadah perjuangan Islam. Dengan majoriti kandungan akhbar parti itu yang mengutuk, menghina, mencaci dan mengherdik kerajaan dan parti-parti kerajaan termasuk para pemimpin terdapat pula ruangan agama yang pelbagai sifat dan kandungannya.

Dalam satu hal, mereka bertingkah bagaikan orang yang tidak beragama atau bertuhan dengan dakwaan-dakwaan jahat yang mereka lontarkan. Dalam hal yang lain pula, mereka berbicara seolah-olah merekalah yang selayaknya menjadi ahli syurga. Sungguh ironis.

Penulis akui, simpati penulis pada parti-parti ini khususnya yang mendabik dada mengakui sebagai pejuang agama mula melalui proses metamorfosis kepada marah, meluat dan kini benci. Cubaan penulis untuk mereda dan menyejukkan kemualan, kemarahan dan kebencian yang membara masih lagi tidak berhasil.

Agaknya, itulah balasan Tuhan kepadsa perbuatan parti-parti berkenaan yang menyiarkan
berita serta maklumat sebagai bahan semata-mata untuk menimbulkan kemarahan pembaca mereka supaya khalayak membenci kerajaan dan parti-parti yang membentuk kerajaan. Akhirnya kemarahan serta kebencian terpalit dan terkena kepada batang hidung mereka sendiri.

Penulis pasti tidak berkeseorangan dengan perasaan meluat tahap maksima terhadap parti-parti yang tidak bertanggung jawab ini. Sebenarnya ramai lagi yang berkongsi perasaan ini. Bezanya, mereka tidak mahu meluahkan rasa marah dan mual yang terpaksa mereka tanggung.

Ada justifikasinya terhadap rasa mual, marah dan benci yang tertanggung selama ini. Banyak kewajarannya, malah begitu kukuh sebab musababnya.

Boleh penulis bayangkan bagaimana benci dan marahnya para pemimpin dan ahli parti-parti tersebut. Dengan kedudukan seri, kita berkongsi perasaan yang sama, saling benci dan membenci.

Tidakkah ini petanda buruk untuk sebuah negara, untuk suatu alam bergelar Melayu, malah untuk suatu agama yang penuh kebenaran dengan segala kesucian?

Memadai didedahkan serba sedikit pengakuan penulis. Niat asal penulis ialah untuk menderaf karangan bertajuk Pengakuan : Siri 1 melibatkan sebuah parti yang memperjuangkan Malaysian Malaysia. Nampaknya tulisan ini terpaksalah penulis namakan semula, PENGAKUAN : SIRI PENGENALAN.

No comments: