Friday, May 22, 2009

Dr Zambry menang di Mahkamah Rayuan

Berita yang dinantikan oleh ramai pemerhati semenjak semalam lagi sudah terjawab. Rayuan YAB Dato' Seri Dr Zambry telah diterima oleh Mahkamah Rayuan dengan keputusan majoriti lantas membatalkan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi minggu lepas.

Walaupun Dr Zambry telah memenangi rayuannya petang tadi, kemenangan tersebut belum boleh disambut sorak sorai kerana keputusan tersebut masih lagi boleh dirayu di Mahkamah Persekutuan.

Inilah sistem keadilan Malaysia. Ada proses rayuan yang boleh diikuti oleh sesiapa sahaja yang terkilan. Hakikat yang semestinya diterima oleh semua ialah bahawa Mahkamah Persekutuanlah penentu paling muktamad dalam isu ini.

Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin patut akur dengan proses keadilan yang sedang mengambil tempat. Keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang tidak memihak beliau tidak semestinya betul, dan ini telah dibuktikan dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebentar tadi.

Pada peringkat ini, keputusan Mahkamah Rayuan pula tidak semestinya betul. Hal ini kerana Mahkamah Persekutuan masih lagi boleh mengkaji semula keputusan Mahkamah Rayuan sedemikian.

Semangat yang perlu ada dalam diri rakyat Malaysia untuk mengelak dari sebarang kemelut politik ialah berlapang dada. Berlapang dada menerima apa jua keputusan Mahkamah setelah para peguam terlibat mengemukakan hujah masing-masing.

Dakwaan bahawa ada 'tangan-tangan ghaib' dan 'hakim boleh dibeli' adalah dakwaan paling jahat yang boleh diutarakan. Bagaikan satu usaha untuk menyalahkan orang lain semata-mata untuk menutup kelemahan diri sendiri.

1 comment:

TheMalayMale said...

Kalau boleh celikkan lah mata bangsa Melayu mengenai proses perundangan di negara sendiri.
Sekarang ni ramai yang masih kelabu tentang perkara ini dan jumlah besar daripada kalangan ini mempunyai takrifan sendiri tentang undang2. Teruskan mem'blog'.