Kejadian huru hara oleh penunjuk perasaan rakyat Thailand berkemeja t merah di Pattaya minggu lepas tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi. Penunjuk perasaan yang terlibat sewajarnya memikirkan tentang hak rakan segenara yang menyokong kerajaan Abishit Vejajiva. Lebih dari itu, mereka sewajarnya menginsafi nasib Thailand yang turut terjebak dalam kancah kemelut ekonomi sedunia yang semakin muram. Apakah keutamaan para penunjuk perasaan yang terlibat? Adakah mereka lebih mengutamakan emosi kerana Takhsin Shinawatra telah kehilangan kuasa berbanding dengan keutamaan untuk bersatu membina masa depan negara yang lebih baik? Jawapannya hanya ada pada rakyat Thailand sendiri.
Kejadian di Thailand membuktikan bahawa demokrasi bukanlah preskripsi terbaik dalam memerintah, mentadbir dan membina negara. Sekiranya jatuh ke tangan yang tidak bertanggungjawab demokrasi boleh membawa kepada anarki seperti yang sedang di terjadi negara gajah putih itu. Sememangnya demokrasi banyak memberikan hak yang sewajar dan sepatutunya kepada rakyat, tetapi adakah hak tersebut termasuk untuk menimbulkan kekacauan dan menjatuhkan kerajaan secara paksa melalui tunjuk perasaan di jalanan? Sudah tentu ini bukannya semangat dan tujuan demokrasi. Demokrasi bertujuan untuk diamalkan sebagai hak yang terletak ke atas rakyat demi manfaat rakyat dan sesebuah negara itu sendiri. Seandainya demokrasi tidak lagi memberi manfaat kepada rakyat dan negara, maka bolehlah dikatakan bahawa demokrasi bukan lagi menjadi alat yang berkesan.
Di alaf yang baru di tengah-tengah kepesatan ilmu dan teknologi masih ada lagi negara yang tidak mengamalkan demokrasi, antaranya Arab Saudi dan Republik Rakyat China. Mengapakah kedua-dua negara ini masih mengamalkan sistem yang sedia ada dan bukannya demokrasi? Pastinya pemimpin-pemimpin negara tersebut sedar dan faham bahawa dalam konteks pemerintahan negara mereka masing-masing, demokrasi tidak akan membawa negara mereka ke mana melainkan menuju kehancuran.
Sebagai sebuah negara Islam, Arab Saudi tidak memerlukan demokrasi. AlQuran dan hadith sudah cukup untuk menggariskan hak serta obligasi di antara kerajaan dan rakyat serta tidak memerlukan kaedah pemikiran asing dalam memperundangkan hubungan antara kerajaan dan rakyat. Amalan demokrasi di negara China pula akan bertentangan dengan fahaman komunisme yang telah mereka amalkan semenjak Mao Tze Tong mengambil alih kuasa sekitar penghujung tahun 1940-an. Walaupun China kelihatan mengamalkan dasar yang lebih terbuka semenjak setelah Deng Xiao Peng menjadi pengerusi parti, China masih keberatan untuk mendakap erat demokrasi.
Lihat saja demokrasi yang kini diamalkan Iraq. Adakah demokrasi membawa kepada keamanan di negara Teluk Parsi itu? Adakah kesejahteraan mengekori demokrasi yang diamalkan di nagara bermazhab Sunnah dan Shiah itu? Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat telah memperoleh lebih kuasa untuk menentu dan memilih kerajaan berbanding zaman Saddam Hussein, tetapi mampukah kuasa seumpamanya membawa perpaduan dan kemajuan ekonomi?
Lihat juga amalan demokrasi di Indonesia. Perbelanjaan yang besar terpaksa ditanggung semata-mata untuk membolehkan rakyat mengamalkan hak mereka untuk memilih kerajaan. Bukankah lebih baik sekiranya wang rakyat dan negara itu digunakan untuk membasmi kemiskinan yang sememangnya tinggi selama ini? Setiap empat atau lima tahun kerajaan terpaksa berbelanja atas nama demokrasi dan bayangkan apakah yang boleh dilakukan dengan wang tersebut dalam tempoh dua puluh tahun jika digunakan sebaik mungkin atas tujuan memanfaatkan rakyat.
Sesungguhnya demokrasi hanya boleh dianggap baik sekiranya ia membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Sekiranya demokrasi tidak lagi membawa kebaikan kepada rakyat dan negara, pilihan yang lain mesti dicari menggantikan demokrasi. Dalam mencari pilihan untuk menggantikan demokrasi hak rakyat sewajarnya tidak dinafikan. Harapan kita sekarang ialah Malaysia tidak ikut terjerumus dengan gelombang anarki Thailand. Sudah cukup kita menderita dengan tsunami politik pada bulan Mac tahun lepas. Tindakan individu tidak bertanggungjawab berbaring di atas jalan bagi menghalang kereta pemimpin kerana emosi di Istana Iskandariah Februari lalu adalah petanda buruk tentang mereka yang tidak pandai menghargai demokrasi.
1 comment:
I should have said 'Happy blogging' to you for this blog post first, but.... Anyways, although the article is very compelling but I feel it's too 'soft' to the intended audience over the other side of the fence, so to speak. These people don't understand subtlety anymore, they are brash, crude and rude, and should be treated likewise.
But I guess we were better brought up than they were, but our detractors said Malaysian voters are a matured lot during the last Gen Elect. I wonder how they define maturity.... Perhaps to them civility is not maturity.
Hope to see more blogs from you.
Post a Comment